Thursday 12 December 2013

Sikap Positif Pemacu Keindahan Insan

TUGASAN BLOG SZW 502
Sikap Positif Pemacu Keindahan Insan
Ahmad Shaifful Anuar bin Ahmad Shukor
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik: P-SM0123/12

Keperluan kepada sikap sentiasa positif dalam menempuh cabaran, dugaan dan rintangan kehidupan seharian amatlah digalakkan. Sikap positif seperti bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa dituntut dalam Islam kerana dugaan kehidupan yang berlaku merupakan fitrah atau lumrah di dalam kehidupan dan juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk mengenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang terbaik daripada segi amal ibadah mereka di dunia berdasarkan kepada firman Allah SWT  yang bermaksud:

Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa lagi Maha Pengampu.” (Al-Mulk, 67:2)

Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menghiasi diri bagi mencipta kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya adalah dengan bersikap dan berfikiran positif. Secara ringkasnya berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap apa jua keadaan yang menimpa dirinya atau dengan kata lain berprasangka baik.

Selain itu, sikap positif memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang insan. Amatlah tepat dengan pesanan Rasulullah SAW yang menyanjung seorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya. Bahkan itulah sikap dan ciri mukmin yang sejati sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah SWT dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim).


Berdasarkan hadis ini tergambar dengan jelas tentang ciri-ciri mukmin yang sebenar. Bukan sahaja sabar dan tabah menghadapi segala masalah, bahkan seseorang itu mampu untuk menghadapi segala cabaran serta terus fokus dengan matlamat utamanya dalam kehidupan iaitu mencari keredhaan Allah SWT. Di samping itu, Rasulullah SAW juga turut melarang berprasangka buruk dan saling benci membenci sesama manusia seperti yang ditunjukkan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Berhati-hatilah kalian daripada tindakan berprasangka buruk kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kalian saling mencari keburukan orang lain, saling intip-mengintip, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara” (Hadis Riwayat Bukhari).

Seandainya hadis Rasulullah SAW ini dihayati dan diamalkan, maka segala permasalahan di dalam hidup akan dihadapi dengan tenang dan mudah. Seharusnya tiada lagi sifat berprasangka buruk dan hasad dengki yang tidak berkesudahan sesama insan. Maka, setiap insan akan terus menuju kepada matlamat untuk mencapai sebanyak mungkin kejayaan demi kejayaan. Justeru, azam yang tinggi untuk mengukuhkan jati diri yang positif perlu wujud di dalam diri setiap insan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.” (Al-Hujurat, 49:11).

Jika tiada lagi sifat negatif sesama masyarakat, umat Islam akan terus menerajui tamadun dunia. Sehubungan dengan itu, perlunya mempelajari sikap positif daripada para sahabat Rasulullah SAW, antaranya ialah:

  1. Jelas matlamat hidup dan kehidupan ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan tegas berpegang dengan prinsip akidah dan syariah.
  2. Memiliki semangat juang yang tinggi dan berani menghadapi risiko melalui perjuangan misi sebagai mukmin dan turut tidak melupakan dunia, namun tidak pula hanyut dengan keindahannya.
  3. Berakhlak mulia dan beristiqamah walaupun diuji serta berani membuat perubahan ke atas diri sendiri apabila ia mendapatkan kebaikan.
Sikap positif para sahabat ini menggambarkan betapa mereka bergantung harap terus kepada Allah SWT dalam menangani permasalahan yang timbul kerana pasti ada hikmah di sebaliknya. Kaedah lain yang boleh dilakukan untuk sentiasa berfikir positif ialah:

  1. Dengan mengingati akan setiap nikmat-nikmat Allah SWT yang telah diberikan, makanya jika dihitung tentu tidak akan mampu dikirakan. Dengan itu kita akan sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa bersyukur dan berfikiran positif.
  2. Sentiasalah melihat keadaan di bawah seperti orang-orang yang lebih susah daripada kita, orang-orang yang lebih sakit daripada kita dan orang-orang yang lebih miskin daripada kita. Dengan sentiasa melihat keadaan di bawah akan menghaluskan jiwa dan melembutkan perasaan, menghidupkan perasaan sentiasa bersyukur pada Allah SWT, mengubati tekanan hidup yang dihadapi dalam menangani permasalahan dan menghilangkan ketidakpuasan dan mengelakkan daripada sikap putus asa.

Di samping itu, banyak manfaat yang diperoleh bila insan itu memiliki sikap positif yang akan memberi manfaat bukan hanya pada diri sendiri bahkan memberi manfaat kepada orang lain di sekelilingnya. Antara manfaatnya adalah:

  1. Meningkatkan produktiviti
Orang yang memiliki sikap positif dalam kehidupan seharian akan mempengaruhi produktiviti yang dilakukannya. Contohnya, orang yang memiliki sikap rajin dan tidak menunda-nunda pekerjaan tentu akan menyelesaikan semua tugasan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

ii.        Membantu menyelesaikan masalah
Orang yang memiliki sikap positif akan memandang bahawa setiap masalah yang berlaku sudah pasti ada penyelesaiannya. Oleh kerana itu, setiap permasalahan yang terjadi akan dihadapinya dengan tenang dan tanpa putus asa.

iii.      Memberi dorongan kepada orang lain
Sikap positif yang dimiliki seseorang amat berperanan dalam mengurangi tekanan yang timbul dalam lingkungan sekelilingnya. Sikap ini akan memberi dorongan dalam menyelesaikan masalah dengan cara yang paling baik dan penuh kesabaran.

Kesimpulannya, perlulah setiap insan menanamkan keazaman yang tinggi untuk mengukuhkan jati diri yang positif yang sememangnya wujud di dalam diri sebagai umat Islam. Pengajaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW haruslah di ikuti untuk muhasabah diri dan di ambil iktibar. Amat rugi sekali sekiranya mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW seperti mana dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, 33:21 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah SWT dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah SWT banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.