TUGASAN BLOG SIW505
Peranan Dakwah Dalam Media Massa
Ahmad Shaifful Anuar Bin Ahmad
Shukor
Calon Sarjana Sains
Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No.Matrik: P-SM0123/12
Dalam era globalisasi ini, pelbagai media lahir bagi
menyampaikan masej kepada orang ramai dalam bentuk media tradisional (majalah,
akhbar dan sebagainya) mahupun media baru (laman sesawang, internet dan
sebagainya). Secara umumnya, pengamal media dari rakyat jelata terikat dan
terpengaruh dengan ‘konsep kebebasan akhbar’ dari Barat. Namun begitu, setiap
negara mempunyai undang-undang tersendiri bagi mengawal ‘kebebasan akhbar’. Pemikiran
global khususnya dari Barat telah berpegang kepada gagasan kebebasan, liberal dan
hak asasi manusia dalam menyampaikan masej kepada orang ramai (Abdul Latif, 2012). Pada prinsipnya, konsep kebebasan komunikasi dan
maklumat menurut kefahaman Barat tidak menjaga batas-batas negara dan perbezaan
sistem-sistem budaya. Sesiapa sahaja berhak atau bebas mempunyai, menerima,
menyimpan dan menyampaikan maklumat, pendapat dan idea-idea kepada sesiapa
sahaja. Teori tersebut mempunyai implikasi yang luas dengan pelbagai nilai-nilai
asing bebas memasuki nilai-nilai budaya nasional.


Namun begitu, media massa
merupakan wahana yang paling berkesan untuk menyampaikan informasi dan maklumat
terkini kepada orang ramai. Kemunculan pelbagai bentuk dan saluran media massa
masa kini sama ada media cetak atau elektronik membuktikan perkembangan dan
kepesatan ilmu dalam sesebuah masyarakat. Penggunaan internet yang meluas
melalui laman blog di samping media massa yang sedia ada seperti akhbar, radio
dan televisyen merancakkan lagi penyebaran maklumat dan informasi di kalangan
masyarakat. Justeru, media massa memainkan peranan dan tanggungjawab yang
penting serta amanah yang sangat berat dalam menyampaikan maklumat yang benar,
tepat dan berfaedah kepada masyarakat. Bukan itu sahaja maklumat yang
disebarkan oleh media massa juga perlu mengambil kira tanggungjawab mendidik
masyarakat ke arah kebaikan dan kemungkaran.
Rasulullah SAW telah meletakkan
beberapa prinsip dalam penyampaian dan penerimaan sesuatu berita. Sabda
Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim maksudnya: “Sesiapa yang
menyampaikan daripadaku hadith yang kelihatan dusta maka dia merupakan salah
seorang pendusta”. Sikap berhati-hati para sahabat seterusnya tabiin dalam
menerima sesuatu berita membawa kepada perkembangan pesat ilmu ini yang
kemudiannya dikenali sebagai sistem sanad (Faisal, 2009). Ketilitian para
sahabat dan tabiin jelas menunjukkan kepekaan dan keperihatinan mereka yang
tinggi terhadap kualiti sesuatu berita. Islam meletakkan beberapa prinsip dan
kaedah dalam penyampaian dan penerimaan sesuatu berita. Antaranya:
·
Prinsip
pertama, berita yang disampaikan itu hendaklah berdasarkan kepada prinsip
kebenaran dengan disokong oleh fakta dan bukti yang jelas. Berita yang
disampaikan atas dasar sangkaan, khabar angin ataupun pendustaan atau penipuan
mesti ditolak sama sekali. Ini adalah kerana berita sebegini sudah tentu akan
membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam. Rasulullah SAW bersabda
melalui riwayat Ibn Mas’ud sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan
Muslim maksudnya: “sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebaikan dan kebaikan
itu membawa kepada syurga”.
·
Prinsip
kedua, media massa hendaklah mendokong al-amru bi al-ma’ruf wa al-nahy’an
al-munkar. Media massa harus memainkan peranan mereka mendidik masyarakat
kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Mereka tidak dinafikan terdapat
banyak program-program atau slot-slot berbentuk agama, motivasi dan informasi
disiarkan atau dipaparkan di media massa pada masa kini yang menyeru kepada
kebaikan dan akhlak yang murni. Namun realitinya program-program yang menyeru
kepada kemungkaran, berita-berita yang melalaikan dan gambar-gambar yang
mengasyikkan lebih banyak disiarkan berbanding daripada program-program yang telah
disebutkan tadi. Program-program yang melalaikan inilah yang lebih menarik
minat para pembaca, pendengar dan penonton seterusnya memberi kesan yang buruk
dalam kehidupan mereka.
·
Prinsip
ketiga, media massa hendaklah mendokong perpaduan dan menjauhi perpecahan di
kalangan umat Islam. Islam sentiasa mendokong dan memperjuangkan perpaduan di
kalangan umat Islam. Justeru apa sahaja berita yang mendorong kepada perpecahan
mesti dielakkan. Malah media massa seharusnya berperanan menjadi orang tengah
yang mampu untuk mendamaikan antara kumpulan-kumpulan manusia yang bertelegah.
Begitu juga berita-berita berbentuk fitnah, tohmahan, menyebarkan rahsia dan
mengadu domba seharusnya dielakkan. Apatah lagi jika berita tersebut
mengaibkan, menghina dan memalukan orang Islam lain. Penghinaan bukan tertentu
kepada orang yang hidup sahaja malah Islam juga melarang penghinaan kepada
orang yang telah mati. Rasulullah SAW bersabda melalui riwayat Aishah
sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari, maksudnya: “Janganlah kamu
menghina orang yang telah mati kerana apa yang mereka telah lakukan merupakan
perlakuan semasa di dunia”. Kadangkala keburukan seseorang yang disebarkan dan
dizahirkan dengan begitu mudah tanpa menghiraukan kebaikan yang pernah
dilakukan. Firman Allah dalam al-Hujurat 49: 11 (maksudnya):
“Hai orang-orang yang beriman,
janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi mereka
yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-olokkan. Dan
jangan pula wanita-wanita mengolok-olokkan wanita lain kerana boleh jadi wanita
yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari wanita yang mengolok-olokkan dan
janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil
dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk
sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah
orang-orang yang zalim”.

Rujukan
Abdul Latif Abu Bakar (2012).
Peranan Media Dalam Dakwah Islamiah (Kertas Kerja Seminar Dakwah Nasional 2012
di Pusat Perdagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, 8-9 Oktober 2012)
Faisal Hj.Ahmad Shah (2009).
Peranan Media Massa Menurut Perspektif Islam
Utusan Malaysia Online (2012),
“Hina Nabi, Duta AS Mati Ditembak” Diakses dari http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20120913/lu_01/Hina-Nabi-Duta-AS-mati-ditembak,
pada 1 November 2012